Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi
yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat,
Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap
dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu
juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya
kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran
dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan
nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi
Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang
diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi
Musa ke tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang
penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi
salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi
Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar
kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu
didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?,
kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh keheranan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan
dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium
kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali
lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga
dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium
dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan
Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama
Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu
membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.
"Wahai tuan hamba", kata
pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh
kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa
mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal
lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan
kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku
sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi
babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.
"Setiap hari aku berdoa kepada
Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka
menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.",
tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan
wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa,
inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya
yang sangat tinggi kepasa kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk
dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai
anak soleh disisi Kami."
Allah juga berfirman lagi yang
bermaksud : "Oleh kerana dia telah
berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat
kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke
dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa
anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka
pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya.
Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan
ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun
perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga
mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil
hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang
mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun
kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu
kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang
dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu
dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak
pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat
tempat yang terbaik di sisi Allah.
Untuk mengetahui
lebih mendalam kisah alam akhirat sila dapatkan buku terbitan syarikat Nurulhas
yang berjudul: BILA IZRAIL A.S. DATANG MEMANGGIL