Abu Laits
as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang mashyur. Suatu
ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang
bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar
suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada
suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki
keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki
berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau
sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan,
yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun
keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya
ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu
yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan
menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya,
tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka
Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa
sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan
perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan
arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah
lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba
mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga
tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah
melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa
disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia
ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba
dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil.
Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah,
tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu
dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan
keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil
berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu
sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari
rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan arahan
dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi
kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil
tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan
perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat
busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu
bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia
berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya
ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu
oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat
mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap
akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah
kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah
untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau
yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari
orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah
ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini
sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak
dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat
seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa
kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah
hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat
pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia
dulu."
Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala
orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar
bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu
akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan
mengata hal orang walaupun ia benar.